Hamdan Senario meninggal dunia di Johor Baharu

Anggota kumpulan pelawak Senario, Hamdan Ramli, 55 dikhabarkan telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Azlee Jaafar, 55, atau lebih mesra dengan panggilan Azlee mengesahkan perkara itu.
Azlee memaklumkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak petang ini untuk disemadikan selepas selesai semua urusan jenazah.
Pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini akibat jangkitan kuman dalam darah.
Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong Allahyarham.
Kumpulan Senario berada di negeri ini untuk menjayakan Program Wonderful Night with Senario Union iaitu merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu golongan artis veteran tanah air.
Acara itu adalah sempena ulang tahun ke-27 Senario, namun Hamdan tidak dapat menyertainya berikutan demam dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.
Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.-Berita RTM