APA KHABAR RAKYAT

‘Penguat kuasa agama perlu tahu SOP pengurusan wang khairat, jenayah syariah secara dalam talian’ – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 hari ini memfokuskan mengenai pengurusan wang khairat dan jenayah secara dalam talian membabitkan syariah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kedua-dua isu ini ditekankan pada konvensyen itu kerana perkara ini sangat penting dan rumit. 

“Contohnya jika membabitkan khairat, ada (individu) yang masuk dari negeri lain tetapi membuat kutipan di negeri lain tanpa kebenaran autoriti negeri, (jika perkara ini berlaku) dalam bentuk fizikal agak mudah untuk pihak berkuasa melakukan tangkapan. 

“Bagaimana jika mereka membuat kutipan secara dalam talian. Ilmu mengenai perkara ini perlu disampaikan kepada bahagian penguatkuasaan supaya mereka boleh bertindak.

“Saya tidak mahu disebabkan tiada ilmu berkenaan, menyebabkan pelaku melanggar peraturan secara berleluasa. Kita bimbang mereka mengambil peluang dengan memanipulasikan kemurahan hati rakyat Malaysia. 

“Perkara ini perlu dihentikan dan bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memainkan peranan penting untuk menguatkuasakan peraturan itu.

“Seksyen 84(5) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) secara jelas menyatakan kutipan khairat tanpa kebenaran menjadi kesalahan yang boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Dan Pelancaran Manual Prosedur Operasi Standard (SOP) Penguatkuasaan JAWI, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin; Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Seramai 150 peserta hadir konvensyen itu termasuk pegawai penguat kuasa agama dari jabatan agama negeri, agensi penguatkuasaan di Wilayah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain.

Konvensyen diadakan untuk meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan peserta melalui siri latihan dan kemahiran berterusan berkaitan isu serta aspek penguatkuasaan undang-undang syariah dan mewujudkan sinergi dalam gerak kerja bersama agensi terbabit.

Mohd Nai’m berkata, kepentingan SOP masih boleh digunakan walaupun penguat kuasa menukar jabatan pada masa akan datang. 

“Bermula daripada maklumat awal yang diberikan sehingga pelaku dibawa ke Mahkamah Syariah untuk didakwa, semuanya ada dalam manual ini. Ia memudahkan pegawai yang bertugas di JAWI membuat rujukan,” katanya. 

Katanya, beliau akan meminta Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee membentangkan SOP itu supaya dapat dimanfaatkan dan diselaraskan di semua jabatan agama islam negeri.

“Kalau ada SOP yang baik di peringkat negeri, JAWI boleh ambil untuk bekerjasama ke arah kebaikan. Siapa yang mulakan dulu, manfaat itu boleh dikongsikan dengan agensi lain, itu harapan kita,” katanya.-BH Online