Tiga komponen utama iaitu mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir akan diberi tumpuan dalam memacu institusi pendidikan tinggi di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata beliau akan meneruskan dasar sedia ada yang telah digariskan oleh pendahulunya dan akan bergerak bersama dalam satu pasukan.
“Kita juga bekerja secara berpasukan bukan hanya dalam konteks kementerian tetapi juga antara kementerian ada hal-hal yang berkaitan dengan tugas-tugasan tertentu, bidang-bidang tertentu memerlukan kebersamaan antara kementerian ini.
“Pendidikan tinggi sangat luas konsepnya di universiti-universiti, universiti awam, swasta dan demikian jugak dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas cap jari sebagai simbolik permulaan tugas rasmi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri dan ia tidak berkaitan dengan soal politik.
Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai hak mutlak untuk membina pasukan yang difikirkannya terbaik bagi melaksanakan tugas.
Pada Selasa lalu, Anwar melakukan rombakan kabinet pertama yang turut menyaksikan pertukaran portfolio menteri-menteri dan timbalan menteri sedia ada melibatkan Zambry yang dahulunya Menteri Luar bertukar portfolio kepada Menteri Pendidikan Tinggi.-Berita RTM