Abby Abadi mangsa penipuan skim pelaburan atas talian
Pelakon Abby Abadi, 46, terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM18,500 akibat kecuaian dirinya apabila menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam atas talian.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan yang mendedahkannya dalam media sosialnya turut memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Baran dah datang. Memang rasa sangat lebur duit aku dengan geng ‘scammer’ ni. Baru tengah hari tadi (Rabu) ke Balai Polis buat laporan. Melampau sangat ‘scammer’ berleluasa sekarang.
“Doakan saya dapat duit semula. Penat kerja. Kecuaian diri sendiri, harap tak lebur (duit) begitu saja,” tulisnya yang membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Ampang Jaya.
Abby berkata, dia menyertai kumpulan pelaburan itu pada awalnya sebagai pemerhati pada perbualan setiap ahli yang pernah membuat transaksi sebanyak RM4,000 dan berjaya mendapat wang pulangan.
“Lepas letak RM4,000, skim pelaburan meminta wang berjumlah RM14,500 sebagai kos pelaburan. Katanya, tak perlu buat apa-apa, tapi kena bayar lagi untuk kos seterusnya.
“Dah rasa macam kena ‘scam’, tapi duit punya fasal dan mereka punya sembang bukan main lagi, tertipu akhirnya,” katanya mengakui membuat laporan polis selepas pihak pelaburan memintanya membuat transaksi kali ketiga sebanyak RM29,770.
Menurut Abby, inilah bahana kalau tidak pernah berasa cukup walaupun nampak macam tipu, tetapi masih berfikir betapa mudahnya dapat pulangan wang daripada pelaburan secepat itu.
Terdahulu, Abby difahamkan pernah ditipu seseorang berkaitan penjualan tanah kira-kira beberapa tahun lalu yang dianggarkan sebanyak RM160,000 yang didedahkannya pada 2021.-BH Online