APA KHABAR RAKYAT

‘Ada berita baik mengenai perjawatan tetap APM’ – Ahmad Zahid

0

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan satu berita gembira berkenaan lantikan perjawatan tetap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia adalah sesuatu yang positif mengenai perjawatan tetap yang dimohon APM.

Ketika ini, penyertaan APM berteraskan kesukarelaan yang mana fungsinya dibantu oleh anggota sukarela yang sebahagiannya menjalankan penugasan khusus dengan dibayar elaun..

“Saya diminta untuk memohon agar perjawatan tetap diwujudkan di APM ini. Saya telah mengemukakan permohonan itu secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Kita ketahui bahawa keputusan amat positif. Insya-Allah waktu dekat ada pengumumannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bulan Pertahanan Awam sempena sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia dan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-72 2024 di ibu pejabat APM di sini, hari ini.

Pada November lalu, APM pernah membangkitkan terdapat keperluan untuk menambah perjawatan tetap dan kontrak anggotanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, ketika itu berkata pihaknya sudah memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dibentangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sementara itu, Ahmad Zahid juga berharap APM tidak dipandang sebagai agensi yang hanya bersedia untuk menangkap haiwan berbisa seperti ular.

Sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah memperlihat kedewasaannya apabila terlibat dengan kerja-kerja pertahanan awam sewaktu bencana.

“Dalam tempoh tujuh dekad, usia 72 tahun memperlihat kedewasaan apabila pertahanan awam diwujudkan pada 1952. Ertinya ketika itu, negara selain daripada mempunyai angkatan tentera dan polis, tentunya mahu penyertaan sebagai pertahanan kedua negara.

“Pertahanan kedua negara bukan saja terdiri daripada APM tetapi juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa agensi lain.

“Namun apabila APM yang dulu diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya telah memartabatkan APM menjadi sekretariat bencana negara di setiap negeri dan setiap daerah,” katanya. 

Dalam masa sama, Timbalan Perdana Menteri juga mempelawa pengamal media seperti wartawan untuk menyertai APM. 

Justeru, katanya, APM memberi masa 60 hari buat kumpulan itu untuk merealisasikan pentauliahan dalam kalangan pengamal media di negara ini.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *