APA KHABAR RAKYAT

Ahli UMNO jangan kecewa atas kekalahan kepada PAS, perjuangan kita belum selesai – Asyraf Wadji Dusuki

0

Ahli UMNO diingatkan tidak kecewa dengan kekalahan parti itu kepada PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Terengganu, yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu perlu terus membina kembali kekuatan, kepercayaan dan keyakinan bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai demi Islam, bangsa serta negara.

Beliau berkata, dengan selesainya PRK itu, Kerajaan Perpaduan kini boleh memfokuskan kepada segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara.

“Kalah menang bukan alasannya, ada kala menang dan ada kala kalah. Ketika menang jangan angkuh dan ketika kalah jangan kecewa.

“Buat semua pengundi setia Barisan Nasional (BN), terima kasih banyak kerana masih meyakini perjuangan ini.

“Buat seluruh jentera BN seluruh negara yang bertungkus lumus di Kemaman selama lebih 14 hari, sekalung penghargaan setingginya atas usaha dan ikhtiar,” katanya melalui muat naik di Facebooknya, malam ini.

PAS mengekalkan penguasaan di Parlimen Kemaman apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendahului dengan majoriti lebih 33,000 hasil kiraan 223 daripada 249 keseluruhan peti undi bagi PRK itu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga jam 8.30 malam tadi, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendahului dengan majoriti 33,280 undi selepas 83,866 undi dikira.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, kemenangan itu bermakna Perikatan Nasional (PN) kekal mempertahankan 69 kerusi Parlimen ketika ini, manakala Kerajaan Perpaduan kekal didokong 152 ahli Parlimen.

“Tahniah PAS atas kemenangan besar di Parlimen Kemaman. Tiada apa-apa perubahan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang boleh fokus segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara,” katanya.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *