ATM siap sedia bantu mangsa banjir – Khaled Nordin
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia membantu mangsa banjir seluruh negara ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangkakan berterusan sehingga Mac depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga bersedia menerima arahan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu mangsa terkesan dalam pasca banjir.
“Kita akan terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia bagi berhadapan dengan situasi banjir bukan sahaja di Kota Tinggi, tetapi di semua daerah di Johor termasuk di seluruh negara.
“Setakat ini belum ada lagi amaran gelombang banjir lain, hanya dimaklumkan hujan lebat sehingga esok.
“Kita semua terima arahan di bawah NADMA, kita bersedia untuk menerima apa-apa tugasan yang dinyatakan lebih-lebih lagi jika diperlukan dalam pasca banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, bagi banjir di Kota Tinggi, seramai enam pegawai dan 66 anggota lain-lain pangkat yang berpangkalan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram ditugaskan membantu mangsa banjir.
“ATM juga sediakan trak yang berkaitan bagi menghadapi situasi jalan putus di kawasan banjir, semua aspek kita akan lihat untuk ATM bantu,” katanya
Terdahulu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut melakukan lawatan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota dan juga Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata projek tebatan banjir Sungai Johor yang telah melalui proses tender dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Seperti projek tebatan banjir Sungai Johor kita lihat secara menyeluruh bagaimana hendak kurangkan kesan-kesan jika hujan lebat dapat elak banjir.
“Projek membabitkan lebih kurang peruntukan RM600 juta hingga RM700 juta. Sekarang sudah tender dan sudah ditutup tunggu dianugerahkan,” katanya.-BH Online