Bomba komuniti PR1MA: penduduk diberi latihan kebombaan asas – Kor Ming
Program Bomba Komuniti PR1MA dilancar bertujuan memberi latihan kebombaan asas kepada penduduk, bagi mempersiapkan diri sekiranya berlaku kecemasan di residensi mereka.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata program itu diharap dapat meminimakan kerugian akibat kebakaran, dengan pencegahan awal yang diketengahkan dalam program ini.
“Inisiatif ini hasil kolaborasi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Tahun ini negara mengalami kerugian sebanyak RM1.3 billion akibat kebakaran, jadi pencegahan kebakaran sangat penting dan semua residensi PR1MA perlu mewujudkan Bomba Komuniti, supaya dapat memastikan aspek keselamatan di kediaman mereka,” katanya berucap ketika melancarkan program Bomba Komuniti PR1MA di Residensi Meru, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
Sementara itu, Kor Ming berkata, Bomba Komuniti PR1MA, antara lain juga berfungsi sebagai pengantara di antara JBPM dengan mangsa kebakaran, bagi tindakan susulan dan bantuan seperti mendapatkan maklumat dan laporan serta membantu One Stop Centre JBPM.
Terdahulu, Kor Ming melepaskan Larian Perpaduan Aspirasi #PRIMAKITA di Residensi Meru yang turut diadakan serentak di Seremban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor dan disertai lebih 7,000 orang di keseluruhan lokasi.
Beliau berkata, selain mempromosi gaya hidup sihat, larian itu turut bertujuan mempergiat usaha pemasaran dan jualan khusus bagi Residensi Meru, Residensi Seremban Sentral di Seremban dan Residensi Larkin Indah di Johor Bahru, serta residensi PR1MA lain di seluruh negara.
Kor Ming berkata, mereka yang membeli rumah PR1MA di ketiga-tiga residensi itu, boleh mendapat Pakej Internet percuma selama enam bulan bersama PR1MA Communications Sdn. Bhd, sekiranya membuat penempahan bermula hari ini sehingga 31 Disember. – BERNAMA