APA KHABAR RAKYAT

Data aduan MYJalan dijadikan sebagai data induk analisis kerosakan jalan raya – Alexander Nanta

0

Data yang dikumpul menerusi aduan Kempen MYJalan dijadikan sebagai data induk dalam menganalisis kerosakan dan memperbaiki jalan raya di negara ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, data itu dapat membantu Kementerian Kerja Raya (KKR), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat perancangan termasuk ketika memohon peruntukan penyelenggaraan jalan daripada Kementerian Kewangan.

“Sehingga pagi ini, kementerian menerima sebanyak 5,000 aduan menerusi kempen MYJalan sejak ia mula dilancarkan dan aduan begini bukan sekadar untuk kita kerahkan kerja untuk memperbaiki jalan, tetapi juga akan kita gunakan untuk mengumpul data berkaitan jalan.

“Data itu boleh kita manfaatkan nanti dan kita juga sudah buat analisis pada aduan itu. Misalnya daripada 5,000 aduan yang diterima, hanya 27 peratus berkaitan dengan jalan Persekutuaan dalam seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR ).

“Selebihnya adalah jalan di bawah seliaan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang disiarkan di saluran TV1 hari ini sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Kempen MYJalan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lalu adalah satu platform advokasi kepada semua seperti pihak berkepentingan, pengguna, pemain industri lebuh raya selain memberi ruang kepada pengguna membuat aduan sekiranya berlaku kerosakan jalan.

Sementara itu, Nanta berkata, pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) telah memberi pilihan luas kepada orang ramai dalam membuat pembayaran tol.

“Apabila saya masuk ke kementerian ini, saya percepatkan dan tingkatkan usaha … sekarang sudah beberapa tol yang memberi perkhidmatan ini.

“Ia penting kerana selama ini aduan daripada pengguna jalan raya, kesesakan yang berlaku di plaza tol berlaku kerana kita tertumpu hanya kepada penggunaan satu kaedah saja sama ada Touch n Go atau RFID.

“Kalaulah pemandu itu hanya mempunyai kad Touch n Go dan tiba-tiba berlaku masalah seperti kekurangan baki atau masalah lain pada kad, maka dia terpaksa mengundur kenderaan sehingga berlaku kesesakan, jadi apabila ada sistem pembayaran terbuka yang menerima kad-kad lain, ini memberi cara pembayaran lebih meluas,” katanya.-Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *