Era pascanormal dan krisis kebejatan masyarakat
ERA pascanormal atau melalui istilah bahasa Inggeris disebut sebagai Post Normal Times (PNT) manakala di dalam Bahasa Arab al-Fikru’l mustaqbaliy adalah istilah yang menggambarkan bahawa suatu keadaan dan transisi zaman yang penuh dengan ketidakpastian serta sukar diduga.
Istilah ini banyak dibincangkan dan didebatkan melalui pemikir-pemikir ulung dunia seperti Ziauddin Sardar (The Post-Normal Times Reader), Suhail Inayatullah (ASIA 2038: Ten Disruptions That Change Everything) dan juga disentuh oleh Francis Fukuyama (End of History).
Pemikiran dan debat isu era pascanormal ini boleh dikaitkan melalui pendekatan Islam dan Barat yang mana ia amat berkaitan dengan cabaran yang perlu dihadapi oleh umat manusia yang hidup pada ketika ini.
Era pascanormal boleh dikatakan berlaku pada ketika ini, era yang mana kita sedang hidup dan yang mana juga dikatakan sebagai era yang begitu getir dan sangat mencabar.
Oleh kerana itu, generasi yang ada pada hari ini adalah generasi ikut-ikutan dan hanya bertaklid dengan pendapat dan penemuan generasi terdahulu tanpa ada sebarang islah dan tajdid.
Walau hebat bagaimanapun generasi kini masih lagi tidak mampu mengulangi kehebatan dan kemampuan generasi terdahulu dan tidak akan lebih hebat dari generasi yang akan datang kerana sudah terang bahawasanya kita sedang hidup dalam era pascanormal.
Perkara ini juga boleh dikatakan segala yang normal telah berakhir dan kita sedang hidup dalam keadaan dan persekitaran yang tidak normal, walaupun kita cuba menormalisasikan perkara yang berlaku pada ketika ini sebagai norma baharu.
Sesungguhnya ia bukan norma baharu tetapi ia adalah suatu krisis, kerana kita tidak boleh sesekali menormalisasi krisis sebagai perkara dan keadaan yang normal.
Era yang kita diami pada masa kini adalah era penggantian, yang mana pegangan ortodoks dan konservatif kian pupus, sementara generasi baharu yang hebat masih belum lahir, sedangkan segala perkara yang berlaku amat sukar kita fahami akibat kekurangan ilmu akibat malas dan tidak mahu menggali ilmu.
Dalam era pascanormal, sesuatu fenomena yang tidak normal dianggap normal dan menjadi kebiasaan sebagaimana yang disebut di dalam buku yang bertajuk Zeitgeist, Memerdekakan Pemikiran Terpasung (Hisyam Basabah, 2021), banyak perkara yang tidak patut menjadi patut dan perkara yang patut menjadi tidak patut di dalam zaman ini. Kebenaran dianggap sebagai suatu yang asing manakala yang dusta dianggap sebagai suatu hal yang normal.
Kenyataan ini amat berkait rapat dengan zaman edan atau era pascanormal sebagaimana kini.
Melalui kajian yang dilakukan oleh Profesor Datuk Seri Zaleha Kamarudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui wacananya yang bertajuk “Pelaksanaan Undang-Undang Syariah: Cabaran Masa Kini” dalam Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia pada 17 Oktober 2018, beliau menggariskan era pascanormal terdiri daripada tiga ciri utama iaitu penyusunan semula kuasa, perubahan yang mendadak dan ketidakpastian serta kecelaruan tingkah laku.
Ciri-ciri ini selari dengan apa yang dinyatakan oleh Ziauddin Sardar dan Suhail Innayatullah namun ditambah oleh Profesor Datuk Seri Zaleha dengan penyusunan semula kuasa.
Menurut beliau, penyusunan semula kuasa ini adalah sebagai tindak balas daripada perubahan struktur kepimpinan yang dahulunya dipelopori oleh sistem kekaisaran dan empayar namun berubah kepada sistem negara bangsa yang lebih bersifat etnosentrik secara ideanya.
Perubahan yang mendadak juga sebagai ciri era pascamoden ini pula ditakrifkan sebagai penggantian dengan cara gaya individualistik yang menekankan kecekapan dan keberkesanan yang membawa kepada bentuk hubungan interpersonal dan rootless.
Perkara ini pada akhirnya telah menatijahkan krisis nilai dalam masyarakat sehingga masyarakat semakin jauh daripada nilai yang sewajarnya menjadi pegangan sekali gus identiti yang menunjukkan bangsa atau agama mereka.
Era pascanormal ini perlu dihadapi dengan kesedaran yang mendalam melalui akal dan jiwa yang benar-benar bebas daripada kebobrokan.
Penyelesaian sebenar terhadap kerencaman persoalan peradaban dalam era pascanormal tidak dapat tidak harus kembali kepada akar umbi keinsanan sendiri iaitu dimensi moral dan etika yang mendalam.
Panggung pendidikan negara perlu dihias dengan pembudayaan ilmu yang benar-benar bebas daripada keterpurukan minda yang dimonopoli oleh mereka yang berkepentingan.
Sekolah dan universiti seharusnya tidak lagi menjadi ladang-ladang ternakan bagi menghasilkan tenaga kerja yang hanya bertaklid dan beriktikad membabi buta, sehingga hanya sekadar menjadi pemain-pemain yang hanya mengisi keperluan industri semata-mata, namun jauh lebih dari itu mampu menjadi ejen reformasi sistem yang selama ini memenjarakan kita dalam kemunduran akal dan jiwa.
Jabatan-jabatan kerajaan juga perlu berevolusi ke arah budaya kerja kelas pertama yang mana bukan sekadar menjadi silibus dalam Program-program Transformasi Minda semata-mata namun disuburkan melalui pengamalan dari hierarki teratas hingga terbawah.
Era pascanormal ini perlu diakhiri dengan segera kerana ia dilihat sebagai sebuah era yang penuh kebungkaman dan kelesuan.
Masyarakat perlu disuburkan degan budaya ilmu yang kritikal terhadap sesuatu isu dan bukan semata-mata membicarakan perkara-perkara titik bengik semata-mata namun lebih dari itu melibatkan isu-isu fundamental namun besar impaknya.
Budaya pemikiran kritis, analitikal, perbahasan dan wacana adalah kunci kepada kesedaran intelek yang seterusnya menghasilkan generasi yang penuh wibawa sehingga mampu menggegar seluruh ancala di marcapada ini.
Namun, hal ini tidak akan menjadi realiti sekiranya golongan ilmuan, agamawan dan kuasawan tidak mengambil tanggungjawab ini dengan penuh iltizam dan keinsafan.
**Hisyam Basabah adalah seorang penganalisis sosial, penulis dan calon Doktor Falsafah Sains Politik, UUM. Kini bertugas di Kluster Kenegaraan, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Apa Khabar Rakyat