APA KHABAR RAKYAT

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat menyertai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa dirancang pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, berkata GPS akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Fazzrudin yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata pendirian itu sudah dinyatakan oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kerana negara memerlukan Kerajaan Persekutuan yang stabil untuk memacu pemulihan ekonomi demi kepentingan rakyat.

“Kami tidak mempunyai masa untuk melayan drama politik yang akan menjejaskan kestabilan pentadbiran dan membatalkan usaha kita untuk mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga sudah menyuarakan sentimen yang sama bahawa keutamaan GPS adalah untuk mempunyai pentadbiran yang stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, Sarawak kini berjaya mendapatkan semula beberapa hak negeri seperti yang termaktub didalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

“Perdana Menteri juga sudah menyatakan kesediaan untuk menangani sebahagian daripada perjanjian dalam MA63 dan sejak itu, Kerajaan Perpaduan telah berjaya menangani beberapa isu berkaitan perkara itu,” katanya.

Mengulas kenyataan Voon Lee Shan yang mahu GPS merebut peluang daripada ‘Langkah Dubai’, Fazzrudin berkata, Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) itu hanya mahu memanaskan keadaan dengan motif asas untuk mengganggu kestabilan politik negara.

“Sejak dahulu lagi, Voon dan PBK sentiasa berusaha untuk membakar semangat rakyat Sarawak dan tidak pernah ikhlas memperjuangkan Sarawak kecuali untuk kepentingan politik mereka sahaja.

“Saya menyarankan beliau membuka mata dan mengakui kejayaan dan pencapaian yang telah dicapai oleh kerajaan GPS dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg,” katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa ‘Langkah Dubai’ yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan dirancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ismail mendakwa, Langkah Dubai berlaku sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Menurutnya ada jurucakap yang ada akses dengan kepemimpinan di sebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk cuba meyakinkan bahawa awal 2024, Kerajaan MADANI akan tumbang siap dengan tarikh dan ‘dateline’ sekali.

Sebelum itu, turut tular mesej di beberapa aplikasi media sosial mengenai pertemuan tertutup beberapa ahli Parlimen PN termasuk dua daripada Barisan Nasional (BN) di Dubai.

Gerakan itu didakwa diatur beberapa pemimpin PAS dan BERSATU untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan PBB.

Mesej itu mendakwa jawatan Perdana Menteri turut ditawarkan kepada PBB dan autonomi yang lebih besar selain 20 peratus royalti hasil minyak kepada Sarawak.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *