APA KHABAR RAKYAT

Imigresen janji tindakan tegas akan diambil terhadap majikan aniaya amah Indonesia

0

Jabatan Imigresen berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang menganiaya pembantu rumah warga Indonesia, selepas duta negara itu menyuarakan kekhuatiran mengenai layanan buruk terhadap mereka.

Jabatan itu berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil serius perkara itu dan komited untuk memastikan majikan tidak menganiaya mahupun mengeksploitasi para pekerja.

Semalam, Duta Besar Indonesia Hermono menggesa pihak berkuasa Malaysia agar mengambil tindakan segera mengenai penganiayaan terhadap warga kerja domestik Indonesia, termasuk gaji tidak dibayar dan penderaan.

Eksploitasi sedemikian, katanya, “menunjukkan trend yang membimbangkan, memerlukan penyelesaian aman oleh majikan Malaysia dan penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa”.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Beliau berkata, majikan terbabit akan didakwa di mahkamah jika disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, selain akan disenarai hitam daripada mengambil pembantu rumah bekerja.

Katanya, kebajikan dan perlindungan pekerja domestik adalah antara perkara termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang dimeterai April tahun lepas.

Ruslin juga berkata, jumlah pekerja asing Indonesia dengan pas lawatan kerja sementara setakat 16 Okt adalah sebanyak 447,094, termasuk 57,916 pembantu rumah.

Setakat ini, katanya, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada kedutaan berkaitan dengan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia.

“Jabatan ini mengalu-alukan pihak Kedutaan Besar Indonesia mengemukakan aduan secara spesifik supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” kata Ruslin.

“Jabatan Imigresen turut menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing.”

Tambahnya, Jabatan Imigresen sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing, termasuk dari Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *