JDT juara Piala Malaysia 2023
Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan gelaran ‘Raja’ bola sepak Malaysia masih milik mereka apabila menumbangkan Terengganu FC (TFC) 3-1 di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Kejayaan menumbangkan anak buah Tomislav Steinbruckner itu turut membolehkan JDT mempertahankan trofi selain melengkapkan kejuaraan ‘quadruple’ kali kedua berturut-turut untuk mengesahkan penguasaan mutlak musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.
Sebaliknya, tuah tidak menyebelahi TFC yang terpaksa menggigit jari dan perlu menunggu lebih lama untuk menjulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dijulang 22 tahun lalu pada 2001.
Skuad Harimau Selatan yang dalam misi mempertahankan trofi tidak menunggu lama apabila seawal minit keenam sudah berada di depan selepas pengadil, S Logeswaran menghadiahkan sepakan penalti susulan terjahan keras Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.
Peledak berbisa JDT, Bergson da Silva mudah menyempurnakan sepakan untuk menewaskan Suhaimi Husin di depan gawang TFC.
Begitupun kegembiraan penyokong Harimau Selatan tidak bertahan lama apabila giliran TFC pula meraih sepakan penalti selepas Jordi Amat menolak Ivan Mamut di dalam kotak penalti.
Biarpun pada awalnya Logeswaran enggan memberikan, namun pembantu pengadil Farhan Abdul Aziz mengangkat bendera bagi memberi isyarat Mamut sememangnya dijatuhkan dalam kotak penalti.
Mamut tidak melakukan kesilapan dan penyerang kelahiran Croatia itu dengan tenang merembat masuk, sekali gus gagal dihalang Syihan Hazmi pada minit ke-21.
Aksi kedua-dua pasukan kembali rancak dan JDT menghadirkan cemas menerusi rembatan padu Bergson dari luar kotak penalti, namun ditepis Suhaimi di minit ke-33.
Heberty berpeluang meletakkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut di depan, tapi percubaannya melambung tinggi, sekali gus aksi 45 minit pertama berakhir seri 1-1.
JDT yang dilatih Esteban Solari tampil lebih mengancam sebaik separuh masa kedua bersambung menerusi beberapa percubaan ke gawang TFC, antaranya rembatan padu Bergson pada minit ke-48 dan 59 serta Syahmi Safari di minit ke-52.
Gol yang diburu akhirnya menjelma pada minit ke-73 apabila bek tengah gantian JDT, Feroz Baharudin menanduk masuk sepakan sudut Heberty, sekali gus menggamatkan stadium yang mencatatkan kehadiran seramai 80,550 penyokong.
Arif Aiman Hanapi menoktahkan kemenangan JDT apabila dia meledak gol ketiga di masa kecederaan menerusi sepakan penalti.-Harian Metro