APA KHABAR RAKYAT

Jemaah Menteri setuju dua inisiatif bantuan subsidi tiket penerbangan diteruskan – Anthony Loke

0

Sepang: Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, dua inisiatif itu ialah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) diteruskan; dan mengekalkan harga siling tiket penerbangan RM599 di antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.

“Kabinet telah pun memutuskan untuk inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan kepada pelajar Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang layak, mereka tetap diberikan bantuan RM300 dan itu akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.

“Jadi setiap tahun kita akan bantu ini di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan ada membantu pelajar-pelajar mereka. Jadi ini dapat mengurangkan beban khususnya untuk pelajar,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX, di sini hari ini.

Loke berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju untuk mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan semasa musim perayaan, dengan tiga hari sebelum musim perayaan kerajaan akan menetapkan kadar siling untuk semua penerbangan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

“Kita akan tetapkan harga siling seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada harga RM599, jadi apa yang selebihnya kita akan bagi subsidi daripada kerajaan kepada syarikat penerbangan.

“Itu antara langkah yang kita ambil untuk memastikan terutamanya penduduk dan rakyat Sabah, Sarawak dapat dibantu dan mengurangkan beban mereka,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, pembukaan Capsule Transit MAX sebuah hotel premium dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, bertepatan dengan usaha Malaysia dalam menyambut ketibaan pelancong dan pengembara ke negara ini.

Capsule Transit MAX menawarkan kemudahan setaraf hotel lima bintang dengan 46 katil premium, ruang istirahat, spa dan kemudahan gimnasium.-Harian Metro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *