APA KHABAR RAKYAT

Kekalkan PM Anwar hingga habis penggal – Abang Jo

0

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dikekalkan untuk menerajui negara sehingga tamat penggal Parlimen.

Premier Sarawak itu berkata mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa yang menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya dan sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Jika Perdana Menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis… kalau (kita tukar Perdana Menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya semasa sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak malam tadi.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov 2022.

Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.

“Kami di Sarawak berkehendakkan negara Malaysia yang kuat… kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *