Kerja penandaan, pengukuran sempadan Sabah – Indonesia giat dijalankan – Nik Nazmi
Kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan antara Sabah dan Kalimantan Utara, Indonesia giat dilaksanakan secara bersama oleh pasukan ukur kedua-dua negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kemajuan pelaksanaan penandaan dan pengukuran sempadan berjalan dengan lancar dan dijadualkan siap pada Jun tahun ini.
Beliau berkata penandaan dan pengukuran sempadan melibatkan beberapa kawasan iaitu East Pillar di Pulau Sebatik, tanda sempadan PB002 berhampiran Kampung Sungai Haji Kuning, New West Pillar dan tanda sempadan AA2 di Sungai Sikapal, Tawau
“Tinjauan ini diadakan bagi mendapatkan gambaran serta kefahaman yang lebih jelas berkenaan isu persempadanan antarabangsa Malaysia – Indonesia seterusnya memastikan jajaran sempadan berkenaan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Jun 2024,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan ke Hutan Simpan Kina Benuwa dekat sini hari ini.
Nik Nazmi melakukan tinjauan udara ke kawasan sempadan darat antarabangsa Malaysia (Sabah) – Indonesia (Kalimantan Utara) di Pulau Sebatik semalam.
Katanya, penandaan dan pengukuran sempadan Sabah – Indonesia itu selaras dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo tahun lepas, sebagaimana yang diumumkan dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua pemimpin berkenaan pada 8 Jun 2023.-Bernama