APA KHABAR RAKYAT

Ketua Polis Negara jamin kes babit pelajar sekolah maut libat pegawai kanan Polis disiasat dengan adil

0

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan siasatan kes kemalangan maut di Ipoh membabitkan seorang pegawai kanan polis dan seorang pelajar sekolah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

Arahan siasatan secara menyeluruh itu juga dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Razarudin berkata, beliau memberi jaminan siasatan kes berkenaan akan dijalankan secara telus dan adil, walaupun kemalangan itu membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP), yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Polis sudah merakam percakapan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah terbabit yang melihat dan berada di tempat kejadian.

“Selain itu, juga pegawai polis terbabit sudah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini,” katanya kepada BH hari ini.

Katanya, siasatan pada ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

“Saya turut meminta mana-mana pihak yang turut melihat kejadian berkenaan dan mempunyai maklumat untuk tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Saya juga memberi jaminan siasatan ini akan dilakukan secara telus dan adil meskipun membabitkan pegawai kanan polis,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari semalam, seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, selepas disyaki dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh pegawai kanan polis berusia 44 tahun.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *