Kuota haji Malaysia, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 31,600 tahun 2024
JEDDAH, 8 Januari – Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam pertemuan sempena majlis menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji 1445H/2024 di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam pertemuan itu, antara perkara dibincangkan ialah kandungan memorandum berkaitan aturan pengurusan jemaah haji meliputi urusan penerbangan, penginapan serta penyediaan makan minum mereka sepanjang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci.
Kuota untuk Malaysia pada tahun lalu juga adalah seramai 31,600 jemaah haji.
Tambah Datuk Dr Mohd Na’im, perkara lain yang turut dibincangkan ialah urusan di Masyair termasuk pengangkutan untuk jemaah dan petugas haji serta persediaan pengurusan aspek kesihatan jemaah haji.
Mohd Na’im kini berada di Jeddah, Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan Haji dan Umrah 2024 anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.-Berita RTM