APA KHABAR RAKYAT

Lawatan Anwar ke Jepun raih RM6.56 billion potensi pelaburan

0

Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion, sekali gus disifatkan berjaya dan membanggakan.

Jelas Anwar, pertemuannya dengan pelbagai pihak di negara itu juga menunjukkan hubungan Malaysia-Jepun menyaksikan anjakan baharu.

“Saya tekankan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk rakan sejawat Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu terutama daripada segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi,” kata Anwar menerusi Facebook.

Dalam pada itu, sewaktu menyantuni diaspora Malaysia di Tokyo dalam sesi santai minum petang semalam, Anwar menyentuh mengenai keperluan untuk mengubah minda dan mengelakkan permusuhan sehingga menjejaskan perpaduan.

“Tidak kira di mana rakyat Malaysia berada, permusuhan kaum dan agama perlu dihindari mahupun dinoktahkan bagi memperkukuh hubungan kita semua dalam membina sebuah negara maju,” kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata beliau sangat sedih dengan pemergian mantan Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah yang telah meninggal dunia semalam.

Jelas Anwar, beliau amat terkesan ketika menerima berita itu, lebih-lebih lagi ketika dalam lawatan kerja di Tokyo.

“Beliau tidak hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir. Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa. Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan roh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT,” kata Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *