APA KHABAR RAKYAT

Malaysia dukung langkah Afrika Selatan di ICJ – PM

0

Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di ICJ bersama negara-negara sahabat yang lain menegak keadilan dan membenam kezaliman kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di facebook.

Tindakan berani Afrika Selatan semestinya disokong oleh seluruh dunia dan warga yang waras.

“Negara-negara Barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya.

“Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar berkata gelombang penentangan terhadap Israel yang disaksikan hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan dahulu.

Dunia juga telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim zionis Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.

“Ini adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang telah pun diterjemahkan secara jelas melalui pendirian serta kebijakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel,” katanya.

Bagaimanapun Anwar menegaskan sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, namun rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa.

Sejak 7 Oktober yang lalu, Israel telah membunuh seramai 24,100 rakyat Palestin yang tidak berdosa, dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.

Anwar turut menegaskan “Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada.” – Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *