APA KHABAR RAKYAT

Malaysia, Hungary bincang usaha tingkatkan hubungan dalam mesyuarat dua hala

0

Malaysia dan Hungary membincangkan usaha untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara khususnya dalam bidang pelaburan dan perdagangan, pertanian dan kerjasama di dalam bidang elektro-mobiliti dalam satu mesyuarat dua hala.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar dan Perdagangan Hungary Peter Szijjarto juga berbincang mengenai hubungan dua hala Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), hubungan Dialog ASEAN-EU serta isu serantau dan antarabangsa yang kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dalam mesyuarat dua hala mereka itu pada Rabu.

“Kedua-dua Menteri Luar telah mengadakan pertukaran Nota Diplomatik bagi Perjanjian Kerja Dua Hala dan Kerjasama Antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), Malaysia dan Akademi Diplomatik Hungary (MDA),” kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu , Szijjarto yang dalam lawatan rasmi sehari ke Malaysia sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry bin Abdul Kadir untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk program biasiswa Hungary – Stipendium Hungaricum.

Malaysia dan Hungary mempunyai hubungan telah lama terjalin melalui perbagai bentuk kerjasama, katanya.

2023 nilai perdagangan antara Malaysia dan Hungari mencecah RM3.08 bilion (AS$0.67 bilion) dengan nilai eksport berjumlah RM2.38 bilion (AS$0.52 billion) sementara nilai import berjumlah RM0.70 bilion (AS$0.15 bilion).

Sementara itu dalam hantaran Facebooknya, Szijjarto berkata meningkatkan eksport pertanian Hungary dan memerangi sekatan dunia merupakan antara agenda lawatannya ke Malaysia.

Beliau berkata Malaysia merupakan perhentian terakhir dalam lawatannya ke Asia Tenggara selepas Thailand dan Singapura.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *