APA KHABAR RAKYAT

MCMC siapkan kerangka untuk pendaftaran platform media sosial – Fahmi Fadzil

0

Kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial termasuk TikTok atas dasar prinsip kebebasan bersuara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata namun semua platform itu akan diminta berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memudahkan proses kawal selia.

Beliau berkata bagi tujuan itu, MCMC sedang menyediakan kerangka dan proses pendaftaran dalam masa sebulan ini, bagi membolehkan platform media sosial berbuat demikian.

“Kita tidak berhasrat untuk menutup platform seperti TikTok dan yang lain, sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

“Tapi masa yang sama dengan adanya kebebasan itu, mesti ada tanggungjawab, jadi sekiranya mana-mana pihak termasuk platform yang mungkin tersalah langkah ataupun membuat kenyataan yang ekstremis disebar luar maka boleh diambil tindakan.

“Jadi antara perkara yang kita akan lakukan dalam masa yang terdekat ini adalah memastikan semua platform media sosial mendaftar dengan MCMC, itu adalah salah salah satu perkara yang saya sebut sebelum ini dan sekarang makin jelas,” katanya kepada pemberita selepas rakaman program Suara Anak Madani, di sini hari ini.

Program itu dihoskan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dengan Fahmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebagai panel jemputan bagi episod pertama.

Sebelum ini, Indonesia bertindak mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform TikTok Shop.

Pada masa sama, Fahmi berkata, sehingga kini MCMC masih mengumpul beberapa maklumat antaranya pengalaman luar dan perbincangan dengan penyedia platform media sosial di Malaysia bagi tujuan pendaftaran itu.

Katanya, beliau melihat proses kawal selia perlu dilaksanakan namun dari aspek sebaran palsu dan bahan fitnah, tindakannya diambil oleh pihak berkuasa.

“Apabila kita melihat keadaan di Indonesia mereka juga tidak berharap untuk mengharamkan atau menutup TikTok.

“Tapi kawal selia (penting). Bagi TikTok Shop mereka melihat antara lain, tidak mahu produk luar negara dilambakkan ke Indonesia.

“Di Malaysia kita lebih bidang kementerian lain tapi kita lihat nanti, akan panggil beberapa kementerian lain untuk kita selaraskan beberapa tindakan,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan bersifat ekstremis di media sosial perlu diatasi yang mana bajanya dilihat disemarakkan oleh kalangan beberapa pemimpin atau tokoh.

“Penting kita lihat apakah suasana yang membolehkan mereka tidak berfikir panjang dan mahu keluarkan kenyataan seperti ini dalam media sosial.

“Kita lihat bagaimana seorang ustaz yang kata macam-macam terhadap Perdana Menteri, ditahan reman.

“Ada juga orang yang kata nak tembak Perdana Menteri, bayar RM5 juta pun ditahan,” katanya.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *