Mengata orang kini Muhyiddin dimalukan dalam PAT Bersatu – Dr Azhar Ahmad

MENGATA dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Peribahasa ini bukan sekadar kiasan, tetapi kini menjadi realiti politik buat Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu yang lantang bersuara mengecam kepimpinan Kerajaan MADANI , kini diasak pula oleh partinya sendiri. Tangan yang menunjuk orang lain kononnya gagal memimpin, kini berbalik menuding ke arah dirinya.
Beberapa minggu lalu, Muhyiddin dan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) begitu bersemangat menghimpunkan penyokong untuk melaungkan ‘Turun Anwar’.
Mereka menggambarkan seolah-olah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal, hilang sokongan, dan sudah tidak relevan.
Namun, apa yang berlaku kini sebaliknya. Dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung minggu lalu Muhyiddin mengakui tidak nampak kejadian di depan matanya, laungan ‘Turun Muhyiddin’ oleh sekumpulan perwakilan ketika berucap di pentas utama.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, seruan yang dilaungkan oleh Muhyiddin pada perhimpunan Turun Anwar bulan lalu bagai senjata makan tuan.
Perhimpunan tersebut yang didakwa mewakili suara rakyat rupa-rupanya hanya memaparkan wajah sebenar politik dendam, bukannya solusi.
Kini, tekanan untuk berundur bukan ditujukan kepada Anwar, tetapi kepada Muhyiddin sendiri oleh akar umbi Bersatu.
“Inilah hakikatnya dalam politik. Karma berlaku dalam pelbagai bentuk. Bila terlalu ghairah mahu menjatuhkan orang lain, kita alpa bahawa kita sendiri sedang tergelincir dari sokongan dan realiti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, desakan dari kalangan ahli Bersatu sendiri agar Muhyiddin meletakkan jawatan membuktikan bahawa kepimpinannya bukan lagi dilihat sebagai aset, malah menjadi liabiliti kepada hala tuju parti.
“Saya tak mahu masuk campur parti orang, tetapi rakyat boleh melihat, pastinya akar umbi Bersatu lebih tahu pelbagai isu dalaman seperti prestasi lemah dalam PRN, kurangnya daya tarikan kepada pengundi muda dan hilangnya sentimen reformasi semakin melemahkan cengkaman beliau dalam parti,” katanya.
Dalam suasana negara yang mencabar, Azhar berkata, Anwar tidak memilih jalan populis dan tidak menari mengikut gendang politik lawan.
“Sebaliknya, Perdana Menteri fokus memulihkan ekonomi, menarik pelaburan asing, memperkukuh nilai ringgit dan memastikan kesejahteraan rakyat kekal diutamakan.
“Walaupun diasak dengan pelbagai tohmahan, saman dan serangan politik, beliau tidak goyah. Dan itu adalah kekuatan sebenar seorang pemimpin, tenang dalam badai.
“Tetapi, Muhyiddin pula kini terpaksa menepis serangan dari dalam. Ia bukan sahaja memalukan, malah mencalar kredibilitinya sebagai tokoh yang suatu ketika dahulu pernah menjadi Perdana Menteri.
“Pemimpin yang baik bukan hanya pandai mengkritik, tetapi mampu menjaga keutuhan dalam rumah tangga politik sendiri,” katanya.
Rakyat semakin matang menilai siapa yang bekerja, siapa yang hanya berdrama. Siapa yang menyelesaikan masalah, siapa yang mencipta masalah. Dan yang paling penting, siapa yang ikhlas dan siapa yang hanya mahukan kuasa.
Azhar juga menegaskan, rakyat perlu melihat nanah yang berakar dalam Bersatu ini sudah tidak dapat dibendung, malah boleh meletup seperti gunung berapi pada bila-bila masa.
“Rakyat perlu bijak, adakah mahu memperjudikan nasib negara kepada parti yang tidak stabil, kepimpinan yang lemah. Tepuk dada tanyalah selera.
“Benarlah, politik itu seperti cermin. Jangan terlalu sibuk menunjuk kotor pada orang lain, sedangkan baju sendiri sudah comot. Jangan terlalu ghairah mengajak orang turun, sedangkan kedudukan sendiri sudah goyah.
“Akhirnya, masa akan menentukan siapa yang benar-benar bekerja untuk negara dan siapa yang sekadar menumpang gelombang kebencian untuk kekal relevan,” katanya.-AKR