NIOSH naik taraf program latihan keselamatan, kesihatan pekerjaan – Steven Sim
Kementerian Sumber Manusia akan terus memperkukuh program Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terbela.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menerajui dalam melaksanakan program itu.
Jelasnya, langkah itu juga selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan terhadap pekerja melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.
“Baru-baru ini, negara berdepan dengan dua tragedi di tempat kerja di mana Nur Ahmad Yusoff Muei di Selangor dan R. Thinesh Kumar di Pulau Pinang yang kehilangan nyawa.
“Ini menunjukkan keperluan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022,” katanya ketika lawatan rasmi pertamanya ke ibu pejabat NIOSH disini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.
Sim berkata, sebagai sebuah institut yang bertanggungjawab menaik taraf tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, NIOSH menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk menyertai latihan yang ditawarkan.-Berita RTM