APA KHABAR RAKYAT

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan mengambil kira kemampuan majikan dan keadaan semasa ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata hal itu disebabkan pelaksanaan dasar berkenaan dibuat secara sukarela serta melibatkan insentif daripada kerajaan.

“Kita tidak boleh nak mewajibkan sewenang-wenangnya, macam perintah gaji minimum kerana perlu ambil kira juga kemampuan syarikat, majikan dan ekonomi (negara). Majikan terbesar di dalam negara ini sebenarnya ialah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 97 peratus daripada entiti perniagaan negara.

“Kalau kita wajibkan, mungkin ada majikan yang akan gulung tikar, ada yang akan hilang pekerjaan, kita perlu seimbang. Sebab itu pendekatannya ialah kita mengambil kira kemampuan majikan dan mesti melibatkan insentif daripada kerajaan serta secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sesi Townhall bersama Kepimpinan Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor di UiTM Puncak Alam di sini malam tadi.

Tambah Rafizi, kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia hanya memberi fokus kepada gaji sektor swasta, manakala berkaitan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diuruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dasar Gaji Progresif itu agak berbeza cabarannya, ia bukan semata-mata soal wang tetapi juga bagaimana kita kerajaan mahu yakinkan majikan-majikan supaya bersama-sama menaikkan gaji secara berperingkat.

“Bagi SSPA, kerajaan kena pastikan bahawa sumber kewangan itu cukup mampan dan perkara itu sedang diurus oleh Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Rafizi menerusi kementeriannya menyerahkan geran berjumlah RM6,961,500 kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM bagi menjalankan dua projek iaitu pelaksanaan pemetaan dan pemantauan program IPR serta penganjuran kursus literasi kewangan peserta IPR yang dikendalikan oleh UiTM Cawangan Selangor.

Pelaksanaan pemetaan dan pemantauan program IPR itu ialah bancian kemiskinan yang bertujuan merangka tindakan bersesuaian bagi meningkatkan pendapatan peserta agar melepasi garis kemiskinan yang melibatkan hampir 1,400 ketua isi rumah di empat negeri.

Penganjuran kursus literasi kewangan peserta program IPR pula bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka berupaya meneruskan kelangsungan demi menjamin kemampanan aktiviti ekonomi yang diceburi.-Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *