APA KHABAR RAKYAT

Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Perak kini dinaik taraf kepada politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).

Penubuhan politeknik APEX pertama di negara ini akan merujuk kepada Institut Teknologi Bandung, Indonesia sebagai model perbandingan yang sangat berprestij tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu susulan pelancaran Program Tansformasi Politik 2023-2030 yang mengandungi 13 Agenda Pembaharuan Kritikal (CRA) dalam Transformasi Politeknik 2023-2030.

“Institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih maju dan kompetitif.

Komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.

“Kesemua ini disusun ke arah mengembangkan politeknik APEX ini menjadi sebuah Institut Teknologi,” katanya dalam ucapan di majlis peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2033 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamed Khaled berkata, KPT mesti melakukan pendekatan yang pelbagai dan inovatif kerana kesedaran tentang kepentingan kerjasama dengan pihak industri.

Justeru itu, beliau menggariskan empat langkah pemantapan kerjasama di antara politeknik dengan industri, antaranya memanfaatkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama Kerajaan, industri dengan institusi TVET.

“Kementerian yakin dengan kekuatan lebih 10 persatuan yang bernaung di bawah badan ini, ekosistem TVET negara akan lebih selari dengan perkembangan industri.

“Apatah lagi, setakat ini, lebih daripada 50 persatuan industri mewakili 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GITC,” katanya.

Antara lain adalah memastikan mandat TVET Collaboration Hub (TCH) yang dipersetujui dalam Majlis TVET Negara (MTVET) tahun lalu digerakkan dengan cara yang berimpak, melonjakkan 12 buah Centre of Technology (COT) sedia ada, agar menjadi pelopor dalam penghasilan teknolosi serta inovasi dan terakhir mempelbagai pelaksanaan pendekatan Industry on Campus (IOC) dengan lebih meluas, terutamanya dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk cadangan dari Ahli-Ahli Majlis Penasihat Industri-Politeknik (PIAC).

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, setakat ini golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hanya terhadap kepada golongan OKU pekak dan bisu sahaja, namun mulai tahun hadapan semua OKU yang mampu untuk mengikuti kursus TVET akan diberikan peluang menyertai program tersebut.

“Semua OKU yang mampu lakukan latihan fizikal dan menjalani latihan praktikal akan turut diberikan peluang menyertai semua program di politeknik.

“KPT bersedia menawarkan lebih banyak tempat kepada mereka dalam dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang,” katanya.

Setakat ini, 7,600 tempat dikhususkan untuk lepasan kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), 1,000 tempat setahun untuk pusat asasi TVET, 500 tempat setahun untuk lepasan sekolah tahfiz secara berperingkat, 210 tempat setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan 100 tempat setahun untuk Orang Asli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *