APA KHABAR RAKYAT

Prestasi Malaysia sembilan bulan rekod nilai pelaburan RM225 billion tertinggi dalam 10 tahun – Tengku Zafrul

0

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2023, pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad itu menyaksikan sejumlah 89,495 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlah RM222.6 bilion dalam 10 tahun.

“Daripada RM225 bilion ini, sejumlah 55.9 peratus disumbangkan daripada pelaburan langsung asing (FDI), manakala baki 44.1 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya pada sidang media selepas membentangkan kad laporan MITI setahun kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah mempamerkan daya tahan yg baik di sebalik ketidaktentuan operasi global yang lazim merentasi pelbagai industri.

“FDI membentuk 55.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan kepada RM125.7 bilion. Belanda muncul sebagai sumber utama FDI, menyumbang RM35 bilion.

“Malaysia turut menarik pelaburan besar dari Singapura (RM20.4 bilion), Amerika Syarikat (RM18.9 bilion), Republik Rakyat China (RM11.6 bilion) dan Jepun (RM11.2 bilion),” katanya.

Beliau menegaskan, kepelbagaian dalam pangkalan pelabur ini menyerlahkan daya tarikan sejagat Malaysia sebagai hab strategik, khususnya untuk rantau ASEAN.

“DDI pula menyumbang RM99.3 bilion, atau 44.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. Ini menunjukkan peningkatan yang mengagumkan sebanyak 45.2 peratus tahun ke tahun, bukti keyakinan pemain tempatan terhadap prospek negara,” katanya.

Daripada jumlah pelaburan diluluskan, lima negeri yang memperoleh nilai pelaburan yang ketara ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM48.9 bilion) Pulau Pinang (RM44.9 bilion), Selangor (RM41.6 bilion), Kedah (RM22.6 bilion), dan Johor (RM20 bilion).

Secara kolektif, lima negeri itu menyumbang 60.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh sembilan bulan 2023.

Tengku Zafrul berkata, pencapaian sepanjang tempoh sembilan bulan itu juga adalah bukti daya tarikan berterusan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, serta kerjasama seluruh kerajaan dan usaha negara dalam menarik, memudahkan dan mengekalkan pelaburan, sambil meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Aliran masuk pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi yang Malaysia sasarkan daripada pemain global.

“Tetapi ini bukan masa untuk berpuas hati. MITI dan agensinya , Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya maju dan stabil untuk membawa lebih banyak aliran pelaburan masuk secara strategik menerusi langkah mereka bentuk semula rantaian bekalan dalam landskap pelaburan global, selaras dengan transformasi perindustrian kami seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Sementara itu, sektor perkhidmatan Malaysia telah berkembang dengan mantap dari semasa ke semasa dengan sektor berkenaan menerajui aspek pelaburan yang diluluskan dari Januari hingga September 2023 dengan menyumbang RM117.7 bilion atau 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia dijangka mewujudkan 40,607 pekerjaan baharu, sekali gus mencerminkan daya tarikan sektor perkhidmatan untuk pelaburan.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, RM78.7 bilion atau 66.8 peratus adalah daripada DDI.

“Ini juga menekankan keyakinan pemain domestik terhadap kesinambungan dan kestabilan dasar di bawah Kerajaan MADANI.

Baki 33.2 peratus atau RM39 bilion adalah daripada sumber asing,” tambah Tengku Zafrul.

Sektor pembuatan di Malaysia pula menarik sejumlah RM99.8 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, mencakupi 44.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan merentas semua sektor.

Ia menandakan peningkatan ketara sebanyak 53.9 peratus daripada RM64.9 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *