APA KHABAR RAKYAT

Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, 129,635 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

KPM dalam kenyataan itu mengingatkan semua calon, untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Calon turut diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, serta mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan.

“Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa calon juga, boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN seluruh negara.

Menurut kenyataan itu KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir, sepanjang peperiksaan berlangsung.

“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Jan ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Jan), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Jan) dan peperiksaan bertulis (30 Jan hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Dis lepas.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *