APA KHABAR RAKYAT

Setiausaha Agung PBB beri amaran, Gaza semakin parah

0

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, hari ini, memberi amaran bahawa keadaan di Gaza semakin teruk dan mengulangi rayuan gencatan senjata bagi menamatkan “mimpi ngeri” pertumpahan darah.

“Keadaan di Gaza semakin terdesak dari semasa ke semasa. Saya kesal kerana jeda kemanusiaan yang disokong oleh masyarakat antarabangsa amat diperlukan namun Israel memperhebatkan operasi ketenteraannya,” kata Guterres dalam lawatan ke ibu kota Nepal, Kathmandu.

Tambahnya, jumlah orang awam yang terbunuh dan cedera sama sekali tidak boleh diterima.

Selepas beberapa minggu melakukan pengeboman hebat di Gaza, yang meragut lebih 8,000 nyawa, tentera Israel memulakan “peringkat kedua” peperangan dengan pencerobohan darat sejak lewat Jumaat lalu.

Panik dan ketakutan mulai meningkat di Gaza, di mana lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan komunikasi terputus gelap selama beberapa hari selepas Israel memutuskan talian internet, walaupun sambungan dipulih secara beransur-ansur awal pagi tadi.

“Dunia sedang menyaksikan malapetaka kemanusiaan yang berlaku di hadapan mata kita.

“Lebih daripada dua juta orang, tanpa tempat yang selamat untuk dituju, dinafikan keperluan hidup, makanan, air, tempat tinggal dan penjagaan perubatan ketika berdepan pengeboman tanpa henti. Saya menggesa semua yang bertanggungjawab untuk berundur,” katanya.

Diplomat tertinggi PBB itu tiba di Nepal dalam lawatan empat hari selepas rundingan di Qatar.

“Saya mengulangi rayuan gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan bantuan kemanusiaan berterusan pada skala yang memenuhi keperluan penduduk Gaza.

“Kita mesti bergabung tenaga untuk menamatkan mimpi ngeri ini untuk penduduk Gaza, Israel dan semua yang terjejas di seluruh dunia, termasuk di Nepal,” katanya.

Seramai 10 pelajar Nepal terbunuh di Israel ketika serangan pada 7 Oktober lalu dan seorang warga Nepal hilang.

Di Nepal, Guterres berkata beliau akan melawat glasier yang mencair dengan cepat di Himalaya untuk “melihat sendiri kesan buruk krisis iklim”.

Nepal kehilangan hampir satu pertiga aisnya dalam tempoh tiga dekad yang lalu, katanya.

“Impaknya kepada masyarakat amat dahsyat,” katanya, menjelang lawatan yang dirancang ke rantau Everest dan Annapurna.

Purata suhu permukaan bumi meningkat hampir 1.2 darjah Celsius sejak zaman pra-industri namun kawasan gunung tinggi di seluruh dunia menjadi panas pada kadar dua kali ganda itu, kata saintis iklim.

Guterres berkata, beliau juga akan melawat Lumbini, tempat kelahiran Buddha di selatan Nepal “untuk merenung ajaran Buddha tentang keamanan dan tanpa kekerasan, yang lebih relevan berbanding sebelum ini, di dunia kita yang amat bermasalah”.-AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *