APA KHABAR RAKYAT

Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang acara khusus bagi sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 selari keputusan Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata suasana semasa menuntut semua pihak sentiasa cakna terhadap situasi negara dan dunia.

Katanya, ketiadaan program bukanlah bersifat menyekat sebarang aktiviti sambutan tetapi kerajaan negeri mahu rakyat bersama-sama bersolidariti terhadap nasib umat Islam di Gaza dan mangsa banjir di Pantai Timur.

“Bagaimanapun, program yang telah dirancang sempena akhir tahun 2023 boleh dijalankan oleh pihak penganjur (bukan kerajaan negeri) dengan menjaga sensitiviti semasa dan memenuhi tatasusila yang telah ditetapkan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengingatkan kepada seluruh rakyat untuk sentiasa peka dan sensitif terhadap penularan wabak COVID-19.

“Walaupun di Negeri Sembilan tidak mencatatkan sebarang kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital, tetapi rakyat perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati apabila berada di tempat yang sesak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, rakyat juga diminta untuk sentiasa berjaga-jaga akan situasi cuaca yang tidak menentu di beberapa tempat di Negeri Sembilan yang boleh mengakibatkan banjir atau banjir kilat. 

Beliau berkata, sekiranya terdapat amaran berkenaan banjir, penduduk dikehendaki mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diutamakan.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *