APA KHABAR RAKYAT

Sektor pelancongan Melaka yang sebelum ini terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19 akan kembali diperkasakan menerusi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula negeri ini termasuk memperkasakan sektor pelancongan melalui pelbagai strategi, inisiatif dan gerak kerja mantap.

Katanya, ia sejajar dengan hala tuju pembangunan negeri untuk muncul sebagai antara tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia dan terunggul di dunia.

“Sepanjang kempen TMM2024, kerajaan negeri sudah menyusun sebanyak 76 acara pelancongan termasuk 30 acara utama yang diadakan sepanjang 2024 dan setiap bulan akan disediakan program dan aktiviti dengan tema berbeza.

“Pada masa sama, kerajaan negeri menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk tujuh kereta kepada pelancong bertuah yang menginap sekurang-kurangnya dua malam di hotel terpilih di negeri ini dan berbelanja minimum RM500 sepanjang bercuti di Melaka.

“Setiap tiga bulan sekali, cabutan akan diadakan dan sebuah kereta bakal menjadi milik mereka yang bertuah,” katanya dalam ucapannya pada majlis pelancaran TMM2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini malam ini.

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta EXCO Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Selain itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi MPB Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin turut hadir.

MPB adalah rakan media rasmi TMM2024.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sempena TMM2024 juga, kerajaan negeri juga memperkenalkan kupon diskaun yang akan memberikan potongan harga antara lima hingga 55 peratus di 28 lokasi tarikan pelancongan yang menyertai kempen ini bermula 1 Januari hingga 31 Disember depan.

Katanya, sebagai merancakkan lagi kemeriahan TMM2024 juga, kerajaan negeri sudah mewajahkan Melaka dengan produk pelancongan terbaharu seperti Melaka River Floating Market, Eco Cruise Sungai Linggi dan Zon Bebas Kenderaan.

Ia secara tidak langsung dapat memberikan lebih banyak pilihan

destinasi pelancongan kepada pelancong dan pengunjung ke negeri bersejarah itu.

“Justeru, saya mempelawa dan mengalu-alukan kepada semua, datanglah berkunjung beramai-ramai ke Melaka dan meraikan pelbagai acara utama serta produk pelancongan baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *