APA KHABAR RAKYAT

Tunku Mahkota Ismail bincang projek khas berimpak tinggi untuk Johor

0

Projek khas berimpak tinggi Johor termasuk cadangan pembangunan Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat atau Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), antara keutamaan yang dibincangkan bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, projek berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Titah baginda, selain projek E-ART bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia, turut dibincangkan adalah cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, projek berkenaan selaras dengan keutamaan baginda untuk membangunkan infrastruktur, memperbaiki kemudahan rakyat dan meningkatkan ekonomi Johor.

“Antara perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua; projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di Kulai dan Johor Bahru,” titah baginda dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani;dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Datuk Shahrol Anuwar Sarman.

Pada 12 Mei lalu, kerajaan Johor dilaporkan memilih penggunaan E-ART untuk dibangunkan disebabkan pelbagai faktor termasuk kos.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, dilaporkan berkata ia berikutan anggaran kos keseluruhan pembangunan infrastruktur Transit Aliran Ringan (LRT) untuk Johor Bahru dianggarkan RM16.7 bilion, dua kali lebih tinggi berbanding kos keseluruhan penyediaan infrastruktur E- ART.

Ahad lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan mencadangkan Johor untuk mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri ini diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar.

Baginda dilaporkan bertitah, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri ini demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.

“Kita perlu lihat kepentingan sesuatu agenda itu apa yang memberi manfaat kepada negeri kita. Sampai bila Johor nak jadi pengemis.

“Biar Johor jaga kepentingan negeri kita sebab di Putrajaya, mereka tidak faham sentimen keperluan kita, saya nak tengok yang bangunkan negeri ini anak-anak Johor, bukan orang lain.

“Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dengan ada gabungan ini.

“Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak,” titah baginda ketika sesi podcast secara langsung pada Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *