APA KHABAR RAKYAT

Perdana Menteri mengkritik tindakan sesetengah pendakwah dan ulama yang mencaci dan mencemuhnya ketika mengupas kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi yang diungkapkan beliau sebelum ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan beliau disalah tafsir, dikupas sehingga ada yang mencerca dan baginya, tindakan itu adalah keterlaluan dan tidak sepatutnya terjadi.

Menurutnya, mesej yang ingin beliau sampaikan ketika berucap sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini adalah keteguhan dan kekentalan iman tujuh pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan.

Justeru, katanya, adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut.

“Banyak hujah-hujah yang dikemukakan tapi yang penting dalam apa yang saya tekankan tadi ialah tentang mesej itu…dan saya harap dengan satu budaya wacana yang baik.

“Hentikan daripada kutukan termasuk kepada Ustaz Azhar Idrus, dan kepada yang lain. Ada yang katakan, jangan kutuk ulama saja…ulama kategori betul atau tidak, kita kupas berasingan.

“Tapi tak semestinya boleh cerca, hina dan kutuk orang lain dan katakan ulama saja tak boleh dikutuk.

“Jangan kutuk sesiapa…ulas dengan baik dan berhak tidak bersetuju tapi tidak boleh berkata ini adalah menyesatkan,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada individu yang mengupas kenyataan itu, termasuk ustaz dari parti Pas, supaya tidak bergaduh dalam isu tersebut dan tidak sewenangnya menjatuhkan hukum.

“Adab berbeza pendapat, ikhtilaf dalam islam, cerca orang, laknat orang, fitnah orang, kerana ketaksuban kita.

“Bukan kepada Islam…tapi kepada parti sehingga orang lain yang tidak mengikuti dianggap sebagai musuh durjana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu video berdurasi lebih 12 minit yang dikongsikan dalam media sosial rasmi beliau pada Ahad.

Tambah beliau, budaya wacana yang baik harus dijulang, bukannya diangkat cerca kritikan melampau, khasnya melibatkan konteks ayat Al-Quran.

Dalam pada itu, beliau melihat perkembangan positif di sebalik ‘kontroversi’ itu kerana jarang sekali ayat Al-Quran dibahas dengan begitu meluas dalam media sosial.

“Jarang sekali ayat Quran dibahas begitu meluas dalam media sosial. Ini perkembangan baik asalkan kita menjaga adab,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini menegur tindakan segelintir pendakwah yang terburu-buru mengupas sesuatu isu yang disifatkan beliau lebih mengikut sentimen politik.

Beliau berkata, seharusnya pihak terbabit menyemak terlebih dulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.-Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *