APA KHABAR RAKYAT

J-KOM dakwa Langkah Dubai dalam pembikinan untuk tumbangkan PMX

0

Selepas Langkah Sheraton dan Langkah London, kini muncul pula Langkah Dubai, yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika mendedahkan cubaan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’,

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

“Menjelang kehadiran 2024, sejak seminggu dua ini, (terdapat desas-desus tentang usaha tebuk atap untuk mengambil alih Kerajaan Madani bergema kembali.

“Menjadi rahsia umum sehari dua ini cerita mengenai percutian di Dubai oleh tokoh-tokoh dari PN. Diikuti dengan kehadiran beberapa pimpinan lain yang dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan yang tidak senang dengan cara kepimpinan PMX (Perdana Menteri Ke-10) dan Kerajaan MADANI.

“Maka dikhabarkan ada rumusan ‘Langkah Dubai’ disusun dengan assignment (tugasan) diberikan kepada PIC (orang yang bertanggungjawab) yang ditugaskan untuk bertemu, berunding dan (mengemukakan) tawaran kepada mereka yang dikenal pasti boleh beralih sokongan kepada mereka (pembangkang).

“Dikatakan ada jurucakap yang ada akses dengan kepimpinan disebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk cuba meyakinkan bahawa awal 2024, Kerajaan MADANI akan tumbang siap dengan tarikh dan dateline sekali,” katanya.

Beliau mendakwa, ada bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan serta sekutu mereka turut terbabit dalam perancangan itu dengan menggunakan segala sumber dalam dan luar negara.

Bercakap kepada BH, Ismail berkata, beliau memperoleh maklumat mengenai gerakan terbaharu untuk menjatuhkan kerajaan dari pelbagai sumber, bukan satu pihak saja.

Mengulas lanjut, beliau mengakui memiliki butiran pemimpin PN mahupun di pihak kerajaan yang terbabit dengan ‘Langkah Dubai’ tetapi memilih untuk tidak mendedahkan perincian terbabit, dengan alasan ia bukan tanggungjawabnya.

“Saya fikir sebagai seorang yang mendokong PMX dan Kerajaan MADANI, saya bertanggungjawab memberi satu sudut pandangan. Saya harap boleh memberikan bukan saja pencerahan tetapi membantu siapa juga yang membaca hantaran itu.

“Biarlah saya percaya pihak keselamatan, pihak lebih tinggi lebih maklumat dan mengetahui (siapa terbabit dengan Langkah Dubai). Saya tidak fikir saya nak ambil tanggungjawab untuk mendedahkan nama sesiapa tetapi siapa makan cili dia rasa pedas.

“Apa pun, saya tidak mahu dedahkan tetapi kedudukan saya dengan jawatan yang saya pegang (dalam J-KOM), saya (boleh) akses banyak maklumat (antaranya) dalam konteks yang saya anggap kalau sampai peringkat mengancam keselamatan negara, gangguan soal kestabilan dan keharmonian masyarakat, saya fikir tidak adil kalau saya berdiam diri,” katanya.

Mengulas lanjut cubaan yang dianggapnya gerakan pengkhianatan, Ismail menggesa supaya Perdana Menteri memiliki asas yang kukuh untuk bertindak tegas

Tegasnya, ia gerakan itu jelas menunjukkan ia satu konspirasi politik berniat jahat selain dilihat berpotensi mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

“Secara peribadi, saya anggap semua tindakan mereka ini ‘as ant act of treasons’ atau suatu usaha atau gerakan pengkhianat untuk menggulingkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, PMX ada asas yang kukuh untuk bertindak secara afirmatif. PMX juga perlu segera arahkan Kementerian Dalam Negera, Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan negara untuk menyiasat beberapa individu yang didapati terbabit secara langsung itu.

“Ia termasuk (mengheret mereka yang) ada kaitan dengan usaha jahat ini (Langkah Dubai) untuk disoal siasat atau diambil keterangan mereka,” katanya.

Terdahulu, tular di beberapa aplikasi media sosial mengenai pertemuan tertutup beberapa ahli Parlimen PN termasuk dua daripada Barisan Nasional (BN) di Dubai.

Gerakan itu didakwa diatur beberapa pemimpin PAS dan BERSATU untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mesej itu juga mendakwa Langkah Dubai antara lain bertujuan menarik sokongan orang Melayu khususnya UMNO bagi pembentukan kerajaan baharu.

Pertemuan turut merangka mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) seperti pernah dilaksanakan oleh UMNO dan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mesej itu mendakwa jawatan Perdana Menteri turut ditawarkan kepada PBB dan autonomi yang lebih besar selain 20 peratus royalti hasil minyak kepada Sarawak.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *