APA KHABAR RAKYAT

Jeda kemanusiaan di Gaza harus menjadi permulaan gencatan senjata kekal – Zambry Kadir

0

Jeda kemanusiaan tidak sepatutnya dianggap sebagai penyelesaian kepada konflik berlarutan di Gaza, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sebaliknya, beliau berkata, jeda kemanusiaan itu harus menjadi permulaan untuk proses keamanan dan gencatan senjata yang berkekalan.

Oleh itu, katanya, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memulakan langkah yang perlu untuk memastikan penyelesaian dua negara menjadi kenyataan.

Beliau menegaskan penyelesaian itu mendapat sokongan global dan turut disokong oleh banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Seluruh dunia sedang memerhati dan bergantung harap pada PBB, terutama Majlis Keselamatan. Sudah terlalu lama dan banyak kali badan ini mengecewakan rakyat Palestin.

Kini sudah tiba masa untuk membetulkan ‘kesilapan sejarah’ kuasa besar yang menyebabkan pembunuhan dahsyat dan berpanjangan terhadap nyawa tidak bersalah sepanjang tempoh lebih tujuh dekad dalam sejarah moden.

“Ini adalah mesej yang jelas, bukan hanya daripada rakyat Malaysia dan saya sendiri, bahkan semua penduduk dunia yang mencintai perdamaian,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Terbuka Peringkat Tinggi UNSC di New York, semalam.

Beliau mengulangi bahawa satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap soal Palestin ialah dengan memberikan mereka hak mutlak yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan masa depan sendiri, menerusi penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Jeda kemanusiaan yang dicapai di Gaza hasil pengantaraan Qatar pada 22 November, bermula jam 7 pagi Jumaat minggu lalu sebelum dilanjutkan selama dua hari pada Isnin.

Hari ini, Kementerian Luar Qatar mengumumkan gencatan senjata itu dilanjutkan selama satu hari lagi pada Khamis. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *