APA KHABAR RAKYAT

Gempa bumi kuat dengan skala ritcher 7.6 magnitud melanda wilayah tengah Jepun, Ishikawa hari ini, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Amaran tsunami besar sudah dikeluarkan oleh JMA untuk wilayah Noto dan menggesa orang ramai untuk berpindah dalam kadar segera berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di Laut Jepun negara itu.

Gempa itu mencatatkan pada skala tujuh dan gegarannya turut dirasai di beberapa kawasan di negara Asia itu, lapor Xinhua.

Menurut agensi cuaca, gegaran besar terbaru berlaku pada 4.10 petang waktu tempatan (3.10 petang waktu Malaysia) pada kedalaman yang cetek. 

Wilayah Ishikawa memperlihatkan gelombang tsunami lebih daripada 1.2 meter pada 4:21 petang waktu tempatan.

Menurut laporan, wilayah Toyama di pantai barat Jepun turut melaporkan gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter pada 4:23 petang waktu tempatan. 

Arus air boleh mencapai setinggi lima meter dan pihak berkuasa menggesa orang ramai melarikan diri ke kawasan tinggi atau ke bangunan berhampiran secepat mungkin, menurut NHK.

Syarikat kereta api, East Japan Railway Co turut menghentikan operasinya di semua laluan Tohoku, Joetsu dan Hokuriku Shinkansen akibat gempa bumi, menurut laporan Kyodo News.

Syarikat Tenaga Elektrik Hokuriku berkata lebih 36,000 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik. 

Kerajaan Jepun turut menubuhkan pusat tindak balas kecemasan di pejabat Perdana Menteri di Tokyo, tambahnya. 

Sementara itu, rakaman yang dikeluarkan oleh NHK menunjukkan terdapat bangunan runtuh di Ishikawa akibat gempa bumi berkenaan. 

Jurucakap kerajaan, Hayashi Yoshimasa dalam sidang medianya berkata, pihak berkuasa masih memeriksa tahap kerosakan dan memberi amaran kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gempa selanjutnya. 

Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Nuklear Jepun berkata, tiada penyelewengan berlaku di loji tenaga nuklear di sepanjang Laut Jepun, termasuk lima reaktor aktif di loji Ohi dan Takahama Kansai Electric Power di Prefektur Fukui. – AGENSI/BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *