Lebih 5,000 hadir rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Kuching
Kira-kira lebih 5,000 tetamu yang hadir mengunjungi Rumah Terbuka sempena meraikan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini hari ini.
Acara buat julung kalinya itu, diadakan secara besar-besaran dihadiri masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang turut disajikan dengan bermacam jenis lauk termasuk pemberian limau mandarin selain persembahan kebudayaan dan singa.
Turut hadir memeriahkan majlis, Yang di-Pertua Nengeri Tun Dr Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Dalam pada itu, antara Menteri Persekutuan yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta menteri-menteri kabinet negeri.-Berita RTM