APA KHABAR RAKYAT

Negeri Sembilan jangka mula lombong NR-REE tahun ini – MB

0

Aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioatif (NR-REE) di Negeri Sembilan dijangka dapat dilaksanakan tidak lama lagi selepas prosedur operasi standard (SOP) tambahan diluluskan kerajaan negeri hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata meskipun SOP tambahan yang menjadi panduan kepada langkah keselamatan selain memastikan kelancaran proses perlombongan REE itu diluluskan negeri, SOP ditetapkan di peringkat Pusat masih perlu dipatuhi.

“Hari ini, kita meluluskan SOP (tambahan) REE untuk dilaksanakan di Negeri Sembilan, selain menetapkan bahawa semua pembangunan REE ini harus melalui atau dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

“Ia untuk mem boleh kan kerajaan negeri mengawal perkembangan aktiviti perlombongan itu dan memastikan hasil REE tidak diselewengkan mana-mana pihak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri hari ini.

Aminuddin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Teo Kok Seong akan mewakili kerajaan negeri ke China dalam tempoh terdekat bagi melihat secara dekat operasi kilang REE di negara itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan kaedah perlombongan seperti mana dilaksanakan syarikat di China, namun bersikap terbuka jika pemilik tanah ingin melantik mana-mana syarikat lain bagi melakukan aktiviti berkenaan.

“Kerajaan negeri terbuka dan pemilik tanah yang mempunyai REE boleh melantik mana-mana syarikat untuk mengendalikan perlombongan, namun perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri melalui MBI supaya hasil dikeluarkan dapat ditentukan.

“Kita juga perlu pastikan aktiviti perlombongan itu tidak memberi kesan kepada tanah lain yang berhampiran, malah MBI sendiri akan melantik pakar geologi supaya aktiviti perlombongan ini dapat dikawal.

“Kita tidak mahu kesan aktiviti perlombongan berkenaan menimbulkan masalah kepada pihak lain terutama pemilik tanah berhampiran dan perlombongan dibenarkan hanya membabitkan kawasan tanah kerajaan negeri, tanah individu atau tanah syarikat, manakala Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah dilarang.

“Setakat ini Kuala Pilah dan Jelebu dikenal pasti lokasi perlombongan REE seperti mana ditentukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, syarikat yang melakukan perlombongan REE haram di Kuala Pilah pada Mei tahun lalu sudah membayar kompaun dikenakan sebanyak RM500,000 pada Disember lalu.

Sebelum ini, beliau memaklumkan Negeri Sembilan memiliki NR-REE dianggarkan bernilai RM30 bilion, namun perincian lokasinya belum dikenal pasti sepenuhnya.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *