Program FLYsiswa manfaat lebih 60,000 pelajar IPTA – Fadillah Yusof
Lebih 60,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menerima manfaat daripada pemberian bantuan subsidi tiket penerbangan laluan domestik kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) FLYsiswa sehingga tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif itu dapat membantu mengurangkan beban kos penerbangan yang ditanggung pelajar khususnya dari Sabah dan Sarawak.
“Saya melihat ia memang komitmen daripada saudara Loke untuk mendalami erti MADANI itu sendiri. Keperihatinan beliau yang membawa ke kabinet dan akhirnya kami semua menyokong.
“Disebabkan kos penerbangan pun memang tinggi pada masa ini dan disebabkan itulah maka diperkenalkan program FLYsiswa ini dengan peruntukan daripada kementerian pengangkutan, setiap pelajar akan menerima RM300 untuk setahun, sekali tuntutan dengan baucar,” katanya ketika berucap melancarkan FLYsiswa di Auditorium HEP, Universiti Malaya, di sini.
Tambah Fadillah, selain IPTA, inisiatif turut diperluas kepada pelajar Politeknik, Kolej Komuniti, Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bermula 6 Oktober lalu.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin terhadap nasib rakyat.
Selain, dapat memperkukuhkan lagi integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.