APA KHABAR RAKYAT

RUU Agensi Tunggal Sempadan negara dibentang pada suku pertama tahun ini – Saifuddin

0

Kementerian Dalam Negeri (KDN) usahasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang merangka satu rang undang-undang (RUU) bagi penubuhan sebuah agensi tunggal kawalan negara (SBA).

Melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, RUU berkenaan dijangka dibentangkan pada suku pertama tahun ini di Parlimen.

“Jemaah Menteri baru sahaja memberikan persetujuan untuk cadangan diadakan RUU bagi maksud menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan yang baharu.

“Bermula sekarang dengan kelulusan Jemaah Menteri itu, maka KDN dan Pejabat Peguam Negara, kami akan memulakan kerja untuk maksud mewujudkan atau mengadakan RUU baharu tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2024 hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, perancangan inisiatif SBA sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguatkuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penubuhan SBA bukan sahaja baik dari segi koordinasi malah sistem penyampaian akan menjadi lebih cekap dan pantas selain dapat menambah baik isu integriti.

“Sebagai contoh di Rantau Panjang terdapat sembilan agensi sementara di Kompleks Sultan Abu Bakar ada 14 agensi berlainan dan Bangunan Sultan Iskandar pula 23 agensi, jadi ia adalah keputusan yang betul untuk mewujudkan SBA ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *