Syed Saddiq letak jawatan Presiden MUDA
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan untuk melepaskan jawatan presiden MUDA sehingga proses undang-undang melibatkannya selesai.
Perkara itu diumumkan Syed Saddiq selepas mesyuarat khas diadakan beberapa jam setelah Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas pertuduhan berkaitan rasuah.
Tambah beliau, jawatan presiden akan dipangku oleh timbalannya Amira Aisya Abd Aziz.
“Saya akan mengosongkan jawatan sebagai presiden MUDA sementara membersihkan nama melalui proses mahkamah,” katanya pada sidang media.
Awal pagi tadi, Mahkamah Tinggi mendapati bekas menteri belia dan sukan itu bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Armada berjumlah lebih RM1 juta.
Syed Saddiq ketika itu merupakan ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.
Hakim Azhar Abdul Hamid berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar itu melampaui keraguan munasabah.
Azhar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq.