APA KHABAR RAKYAT

Tandas di 169 sekolah di Negeri Sembilan siap 100% baik pulih – Aminuddin Harun

0

Projek membaiki dan penyelenggaraan tandas membabitkan 169 sekolah di Negeri Sembilan mencapai tahap 100 peratus apabila siap sepenuhnya, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata hasil perbincangan dengan Pejabat Pembangunan Negeri memaklumkan projek terbabit yang membabitkan kira-kira 70 hingga 80 kontraktor itu berjalan dengan baik.

“Negeri Sembilan telah mencapai sasaran bagi kerja baik pulih tandas sekolah semalam seperti ditetapkan dengan membabitkan sebanyak 169 sekolah.

“Tahniah kepada kontraktor yang telah menjalankan tanggungjawab ini sebaiknya. Setakat ini tiada aduan daripada pihak sekolah berkaitan kerja-kerja baik pulih berkenaan, namun ada satu kontraktor lewat mulakan kerja tetapi mereka dapat menyelesaikan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO dan Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Peduli Palestin Negeri Sembilan oleh syarikat Olley Food Industries (OEM) yang disampaikan Pengarah Urusannya, Zambri Abu di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Menurut satu kenyataan Pejabat Pembangunan Negeri, projek terbabit diselaraskan dan dipantau rapi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh tiga bulan bermula Ogos lalu kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek dipetik berkata pihaknya mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan supaya memastikan kawasan sungai dan tali air di negeri ini berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).-Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *