APA KHABAR RAKYAT

Tawaran Sanusi untuk jual air ke Pulau Pinang bukan omong kosong

0

Tawaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjual air terawat kepada Pulau Pinang melalui Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama, Bandar Baharu bukanlah omong kosong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam kenyataan berkata, tawaran dibuat berdasarkan fakta, setelah projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama siap pada September nanti.

Katanya, bekalan air terawat daripada dua LRA di daerah Bandar Baharu, iaitu LRA Lubuk Buntar Lama adalah 30 juta liter sehari (MLD) dan LRA Lubuk Buntar Baru 25 MLD akan menghasilkan sebanyak 55 MLD.

“Berdasarkan unjuran permintaan air terawat di daerah Bandar Baharu sehingga 2030, akan ada lebihan atau margin air terawat daripada dua LRA ini sebanyak 20 MLD.

“Menteri Besar berpandangan bahawa 10 MLD daripada lebihan bekalan air terawat ini boleh dijual kepada Pulau Pinang untuk kegunaan penduduk di kawasan Nibong Tebal yang berjarak 16 kilometer dari daerah Bandar Baharu,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, LRA Lubuk Buntar Lama yang beroperasi sejak 1992 pernah membekalkan air terawat ke daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di mana jajaran paip masih ada di sempadan dua negeri, di Permatang Pasir, Bandar Baharu.

“Sehubungan itu, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa Muhammad Sanusi membuat tawaran tersebut semata-mata untuk memenangi hati pengundi DUN Sungai Bakap adalah penuh prasangka dan tidak berlandaskan fakta sebenar,” katanya. 

Kelmarin, media melaporkan Mahdzir mendakwa tawaran Muhammad Sanusi untuk menjual air kepada Pulau Pinang adalah mustahil berikutan Kedah tidak mempunyai margin atau lebihan air terawat.

Katanya, ketika ini margin air yang digunakan untuk keperluan domestik dan industri di Kedah mencapai tahap 99 peratus dan tiada lebihan untuk dijual.

Sebelum itu pada majlis pelancaran Jentera PRK Perikatan Nasional (PN) Sungai Bakap, Muhammad Sanusi berkata pihaknya mempunyai lebihan air bersih di LRA Lubuk Buntar dan bersedia untuk salurkan ke Pulau Pinang sekiranya kerajaan negeri itu ingin membelinya.-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *