APA KHABAR RAKYAT

‘Tiada kartel, mafia monopoli industri padi, beras negara’

0

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengeluarkan 39,000 lesen dalam usaha memastikan tiada kartel atau mafia memonopoli industri padi dan beras negara.

Antara lain, lesen itu merangkumi Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

Susulan itu, KPKM menafikan kewujudan kartel atau mafia yang didakwa terbabit dalam penentuan harga beras dan benih padi.

Katanya, kementerian juga menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membendung kewujudan kartel dan mafia seperti didakwa pihak tertentu.

“Industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras KPKM melalui Akta Kawalan Padi dan Beras1994 (Akta 522).

“Melalui akta ini, kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat serta teratur.

“Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi serta beras membabitkan pengilangan, pemborongan, peruncitan, import eksport dan pemindahan antara negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan benih itu, KPKM melaksanakan Task Force Operasi Benih Padi Sah (Op BPS) pada 7 hingga 21 November lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, KPKM berjaya menarik balik 22 lesen penjualan BPS milik peruncit yang melanggar syarat lesen.

“KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dalam isu ini.

“Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya-BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *