Ubat, minyak tidak dibenarkan masuk melalui pintu Rafah
Pintu sempadan di Rafah untuk memasuki Gaza dikatakan dibuka, tetapi penduduk mendakwa bantuan perubatan dan minyak tidak termasuk dalam senarai bantuan yang dibawa masuk.
Sumber BH di Gaza memaklumkan bantuan kemanusiaan yang diterima juga terhad dan diutamakan untuk penduduk di pusat pelarian.
“Ketibaan bantuan (tepung gandum) diterima daripada Agensi Pengedaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk makanan, tetapi krisis keperluan perubatan dan minyak (bahan bakar) masih menjadi masalah pelarian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber itu berkata beliau juga baru pulang dari proses pengecaman mayat saudaranya yang maut akibat kediaman mereka dibom.
“Serangan (Israel) masih berterusan, rumah orang awam dibom, sedangkan mereka (Israel) mengarahkan penduduk keluar dari utara Palestin dan berlindung di sini, selepas kami berpindah ke sini, kami terus dibom di sini pula,” katanya yang kini menumpang di rumah tinggal sekitar utara Gaza.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestine Gaza, Ir Omar Seyam memberitahu BH Israel meneruskan serangan ke atas kawasan Menara Sheikh Zayed dan Gulibo di utara Semenanjung Gaza.
Omar berkata menurut data Kementerian Kesihatan Palestin, jumlah kematian meningkat kepada lebih 8,000, dengan hampir separuh daripada mangsa adalah kanak-kanak.
“Walaupun media barat melaporkan jaringan internet sudah pulih, komunikasi hampir tidak ada di sini, sangat terhad dan jika ada hanya pada masa tertentu sahaja,” jelasnya.
Usaha BH menghubungi Nurul Ain Haron, 37 rakyat Malaysia yang terkandas di Khan Yunis, Gaza juga tidak berhasil.
Sebelum ini Nurul Ain memaklumkan telefonnya rosak dan menjejaskan usaha berhubung dengan semua pihak.
Kali terakhir Nurul Ain memuat naik perkembangan dirinya di laman Facebook miliknya adalah pada Jumaat lalu.
Nurul Ain berkongsi dirinya bersama suami menghadiri proses pengecaman mayat ahli keluarga birasnya yang maut setelah kediaman mereka dibom.-Berita Harian