APA KHABAR RAKYAT

DAP bukanlah parti rasis dan anti-Islam – Rara

0

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata beliau adalah bukti hidup DAP bukanlah sebuah parti rasis dan anti-Islam, seperti didakwa pembangkang.

Naib Wanita DAP yang lebih mesra dengan panggilan Rara itu berkata sepanjang 10 tahun bersama parti itu, beliau tetap masih seorang muslimah Melayu dan bertudung, walaupun berada di dalam parti yang didakwa kononnya sebuah parti komunis, pengkhianat dan rasis.

“Kita hormati Islam sebagai agama Persekutuan, kita hormati hak-hak orang Melayu, bahkan saya sendiri orang Melayu takkan saya nak biarkan parti saya tindas hak orang Melayu? Takkan saya nak biarkan parti saya tindas agama saya sendiri.

“Kita hormati Raja-raja Melayu, besar sangat ke DAP ini nak hapuskan Raja-raja Melayu?” katanya ketika menjadi panel dalam Bicara Titik Persamaan dalam Memperkukuh Perpaduan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, di sini, hari ini.

PRK itu yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan calon Barisan Nasional Tan Sri Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berdepan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP memohon para pengundi membuat pilihan yang bijak dengan menolak politik rasis dan yang bermain dengan sentimen agama.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut menjadi panel dalam program itu memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbentuk dengan kerjasama antara lain parti DAP ini tidak akan berkompromi terhadap segala perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini katanya antara perjanjian dengan kesemua parti yang dicapai sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan lagi.

“Kami (UMNO) bermesyuarat malam itu dan buat keputusan sukar, tapi kami akhirnya bersetuju untuk akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong (untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan) dengan syarat…bukan syarat kepada Agong tetapi mana-mana parti yang nak membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Iaitu mesti, jangan perlekeh Islam sebagai Agama Persekutuan, jangan diremehkan, jangan tentang dari segi polisi, dasar, prinsip, pembawakan, percakapan, jangan sesekali mengguris perasaan orang Islam.

“Kedua, keistimewaan orang Melayu, bumiputera, ini pun tidak boleh dikompromi, apa yang ada dalam Perlembagaan mesti dihormati,  institusi Raja-raja Melayu wajib dipertahankan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *