Lokman Adam hantar representasi berhubung kes 1MDB
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sabitan menghina mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding rayuan Lokman Noor di Mahkamah Persekutuan di sini yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada 26 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor, 50, selepas menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya untuk menambah hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.
Menurut Muhammad Shafee, surat representasi itu dihantar semalam dan sekiranya representasi berkenaan diterima oleh AGC, rayuan anak guamnya tidak perlu diteruskan.
“Oleh yang demikian, saya mohon agar prosiding hari ditangguhkan sementara menunggu keputusan representasi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan pihaknya menerima representasi itu dan akan menelitinya selain tidak membantah penangguhan prosiding rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.
Hakim Mohamad Zabidin yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan penangguhan dan menetapkan 14 Februari tahun depan bagi pendengaran rayuan dan mengetahui status representasi terbabit.
Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes 1MDB.
Pada 22 Oktober 2019, hakim memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor kerana tindakannya yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman Noor dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.
Thomas berkata pada hari sama, Lokman Noor membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.
Katanya matlamat atau tujuan tindakan Lokman Noor ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. – BERNAMA