Program MADANI Rakyat Zon Tengah bermula 23 Februari ini
Program MADANI Rakyat Zon Tengah akan diadakan pada 23 hingga 25 Februari 2024 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor.
Program berkenaan dilaksana Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan Selangor.
Menurut PACU, ia kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lalu.
“Program itu diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Program MADANI Rakyat Zon Tengah merangkumi negeri Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Acara itu akan memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan program tersebut,” menurut kenyataan itu.-Berita RTM